PRIME MINISTER LEE HSIEN LOONG'S NATIONAL DAY MESSAGE 2005 (MALAY VERSION)

 

AMANAT HARI KEBANGSAAN 2005

 

1.       9 Ogos 1965,  detik Singapura  menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.  Secara tiba-tiba, kita terpaksa hidup sendiri, tanpa sebarang sumber alam, tiada kawasan pendalaman untuk menyara hidup kita, dan tiada angkatan tentera untuk mempertahankan negara.  Tetapi kita berazam untuk terus hidup, dan mula mendirikan sebuah negara. Kita telah bekerja keras untuk memperbaiki kehidupan kita, dan mencipta masa depan  bagi anak-anak kita.

 

2.       Hari ini, kita mempunyai banyak sebab untuk meraikan pencapaian kita.  Dalam masa 40 tahun, kita telah mencapai kejayaan di luar jangkaan ramai. 

 

a        Ekonomi kita maju dan makmur.  Setiap kali kita mengalami kemelesetan, kita bangkit semula  untuk menciptakan pekerjaan  serta kehidupan yang lebih baik  bagi semua penduduk. 

 

b        Masyarakat kita harmoni  dan bersatu padu.  Kita telah menjalin kesefahaman  dan kepercayaan antara berbilang kaum disini  dan mengeratkan hubungan antara rakyat Singapura.

 

c        Kita menarik pelaburan dan bakat dari serata dunia,  untuk hidup dalam kota yang selamat,  bersih  dan dinamik ini.

 

d        Angkatan Bersenjata Singapura dan pasukan Home Team kita  kuat dan teruji,  menjamin keselamatan kita. 

 

e        Semangat kita untuk sama-sama menentukan nasib kita sendiri  semakin utuh,  dan semakin matang  sebagai sebuah negara.

 

3.       Walaupun negara kita aman  tahun demi tahun,  kita mesti terus berwaspada  tentang ancaman terhadap keselamatan kita.   Serangan bom di London dan Mesir,  mengingatkan kita  bahawa peperangan menentang keganasan  tetap berterusan,  dan bagaimana ketat pun  penjagaan keselamatan kita,  ada kalanya pihak pengganas akan dapat lolos.  Kita mesti bersiap-sedia dari segi psikologi untuk menghadapinya,  supaya sekiranya mereka melancarkan serangan di sini,  kita akan menunjukkan semangat tegas dan waja yang enggan tunduk kepada ancaman pengganas  dan tetap utuh sebagai satu bangsa yang bersatu padu.

 

4.       Tahun ini, ekonomi kita terus tumbuh dengan baik.  Pertumbuhan dalam separuh pertama tahun ini  ialah 4%.  Untuk sepanjang tahun ini,  kita boleh jangkakan pertumbuhan antara 3.5% dan 4.5%.  Dalam enam bulan pertama, kita telah menambah sebanyak 45,500 pekerjaan,  lebih banyak daripada tempoh yang sama tahun lalu. Ini telah memudahkan  pekerja yang diberhentikan mendapat pekerjaan baru. Segala usaha kita mereka dan mencipta semula pekerjaan untuk pekerja lanjut usia dan yang berkemahiran rendah juga telah membantu.

 

5.       Memandang ke depan,  kita menghadapi cabaran-cabaran yang berbeza sama sekali.  China dan India  sedang muncul  sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang kuat  dan berdaya saing.   Globalisasi  memperhebatkan persaingan dan mempercepatkan lagi perubahan.  Berdepan dengan cabaran-cabaran yang sama ini,  negara-negara ASEAN  sedang pertingkatkan kerjasama. Kita akan membentuk Masyarakat ASEAN  menjelang 2020.  Malah hari ini,  8 Ogos,  adalah Hari ASEAN.  Bersama rakan-rakan ASEAN kita,  kita akan tingkatkan kesedaran tentang pertubuhan ASEAN  di kalangan rakyat masing-masing.  Keutuhan ASEAN akan membantu kita  mengatasi cabaran-cabaran ini  dan merebut peluang di depan kita.

 

6.       Asas-asas Singapura yang kukuh membolehkan kita menghadapi masa depan dengan penuh yakin. Keutamaan kita ialah untuk kembangkan dan tingkatkan ekonomi kita.  Kita perlu membangunkan kemahiran dan keupayaan baru,  membuka pasaran-pasaran baru,  membawa masuk pelaburan  dan menjana bidang-bidang pertumbuhan baru.  Singapura tidak bermula sebagai sebuah pusat kewangan, atau sebuah pangkalan pengeluaran barang elektronik, atau sebuah pusat penerbangan  dan perkapalan,  tetapi kita telah mencapai semua ini.  Kita tidak boleh berhenti setakat itu;  kita mesti terus berusaha  untuk mencipta semula Singapura  dan membina bidang-bidang kekuatan baru,  seperti mana kita telah lakukan  dalam bidang bioteknologi dan multi-media.  Kita juga mesti terus kembangkan sayap kita, dan mencari peluang-peluang dalam ASEAN, di China, India dan rantau Timur Tengah.  Dengan cara ini, kita akan dapat mewujudkan pekerjaan baru  dan menggantikan pekerjaan-pekerjaan lama yang kian pupus. 

 

7.       Untuk mencapai semua ini, kita mesti melengkapkan diri kita dengan kemahiran dan sikap yang betul  agar kita dapat berkembang maju  walaupun berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu  dan perubahan yang pesat. Itulah sebabnya kita menekankan peri pentingnya sistem pendidikan yang unggul.  Setiap rakyat Singapura  - bukan segelintir orang terpilih sahaja �  harus diberi pendidikan yang terbaik sesuai dengan kebolehannya.  Oleh itu, kita telah banyak melabur pada politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal, dan bukan pada universiti sahaja.  Kita memberikan perhatian kepada pelajar-pelajar aliran Normal, dan bukan sahaja kepada pelajar-pelajar aliran Ekspres dan Khas. Kita menekankan pembelajaran sepanjang hayat,  bukan sahaja pendidikan sebelum memasuki alam pekerjaan.    

 

8.       Kita juga perlu mencipta semula kota Singapura supaya ia bergema, kosmopolitan dan bertenaga,  dengan keistimewaannya yang tersendiri, berbanding kota-kota lain.   Kota-kota global  seperti London,  Paris, New York dan Shanghai terus dicipta semula, dan ini menguatkan sebab mengapa kita harus melakukan yang sama.   Inilah sebab yang lebih utama,  selain menarik pelancong ke sini,  mengapa kita akan membangunkan pusat peranginan bersepadu.

 

9.       Bulan lalu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bersidang di Singapura untuk memilih tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2012.  London akhirnya terpilih.  Selama beberapa hari, Singapura telah mendapat sorotan dunia sebagai tuan rumah yang telah memberi layanan yang santun dan cukup sempurna.  Kita telah menjalankan peranan kita dengan baik, dan semestinya dapat melakukannya dengan lebih baik lagi di masa depan,  misalnya pada tahun depan,  apabila Tabung Kewangan Antarabangsa  dan Bank Dunia bersidang di sini. Ini sebahagian daripada peralihan kita untuk menjadi sebuah bandar yang terkemuka, yang menyediakan sekitaran kehidupan bertaraf dunia  untuk golongan yang berbakat dan semangat keusahawanan,  dan sebuah tempat tinggal untuk rakyat Singapura  dari semua bangsa dan agama.

 

10.     Pertumbuhan ekonomi adalah program yang terbaik  untuk menjaga kebajikan sosial.   Kemakmuran dapat menyediakan sumber-sumber  untuk kita mengatasi cabaran-cabaran yang sukar.   Salah satu cabaran itu ialah  jurang pendapatan yang semakin melebar.  Kita tidak boleh merubah tren ini  yang berlaku di seluruh dunia,  tetapi kita boleh membantu rakyat Singapura yang bergaji rendah  mengatasi keadaan ini dan mencari peluang-peluang baru.  Kita sedang melatih mereka  untuk menimba kemahiran yang relevan,  mencipta semula pekerjaan mereka  supaya membayar gaji yang lebih tinggi,  memberi anak-anak mereka pendidikan yang sempurna, dan memberi bantuan untuk membayar bil air dan elektrik,  juga tambang pengangkutan mereka.  Dan kita ada Dana ComCare  yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan  supaya dapat berdikari secepat mungkin.

 

11.     Cabaran kedua  ialah penduduk kita yang semakin tua.  Rakyat Singapura perlu kekal aktif,  sihat  dan bekerja seberapa lama yang boleh,  supaya sedang usia mereka meningkat,  mereka dapat menikmati keadaan kewangan yang stabil,  mampu mendapatkan penjagaan perubatan yang baik,  dan menjalani hidup yang lebih memuaskan.  Warga-warga tua  adalah anggota-anggota masyarakat  yang berharga,  dan kita mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan mereka. 

 

12.     Ketiga,  kita mesti terus menjaga  kesihatan semua rakyat Singapura,  baik yang tua  mahupun yang muda.  Saya faham  ramai di kalangan anda  bimbang tentang perbelanjaan perubatan.   Tetapi sistem penjagaan kesihatan kita  menjamin mutu penjagaan yang tinggi buat semua.  Kita akan usahakan  supaya khidmat penjagaan kesihatan kita  lebih termampu bagi semua.  Tetapi anda mesti memainkan peranan,  untuk menjaga kesihatan,  agar sihat-walafiat,  kerana mengekalkan kesihatan  adalah langkah terbaik  untuk mengawal kos penjagaan kesihatan.

 

13.     Isu-isu ini adalah rumit  dan tidak ada huraian yang cepat dan mudah  untuk mengatasinya.  Tetapi kita akan menimba iktibar daripada pengalaman negara-negara lain  dan elakkan dari kesilapan yang mereka lakukan.   Dan saya yakin kita dapat mengatasi cabaran-cabaran ini.

 

14.     Memandang ke depan,  tanda-tanda yang ada  menggalakkan.  Asia semakin makmur;  dan jiran-jiran kita dalam ASEAN  sedang mencapai kemajuan yang baik.  Kita sedang mengambil langkah-langkah yang tepat,  melabur untuk mempertingkatkan rakyat kita  dan persiapkan mereka  untuk hidup dalam sekitaran yang berbeza.  Saya jangkakan  lima tahun akan datang  lebih baik daripada lima tahun yang lalu.  Dari itu, saya yakin,  dengan bekerjasama,  kita akan mengembangkan  dan memakmurkan Singapura  lebih daripada apa yang telah kita capai sekarang.

 

15.     Pada ulang tahun kemerdekaan kita  yang ke-40 ini,  saya mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura. Marilah kita sama-sama memperbaharui komitmen kita  sebagai rakyat yang bersatu,  untuk menjamin masa depan yang cerah dan berkekalan  bagi Singapura.

 

==========